3-T Yang Menyebabkan Keracunan Makanan Bila Makan Di Kedai
Perut aku agak lapar. Sudah berbunyi. Tapi aku batalkan niat dan tidak jadi mengambil makanan. Cukuplah teh tarik yang sudah ter-order ini. Ini pun aku paksa hirup dan telan. Kalau ikutkan hati mahu aku tinggalkan saja. Membazir dan rugi pula.
Semua orang pernah makan di kedai. Semua orang juga pernah sakit perut selepas selesai makan. Setakat sakit perut tak apa lagi, kalau dapat cirit birit sehingga keracunan makanan, bagaimana pula?
Kenapa aku tak jadi meneruskan niat nak makan?
Teh Tarik “Power?”
Masuk saja dalam kedai, seorang pelayan yang kebetulan hampir berselisih bahu dengan aku terus bertanya… “mau minum apa?”“Teh tarik.” jawab aku ringkas dan mengambil tempat duduk.
Selepas teh tarik sampai, aku tak terus meneguk kerana masih panas. Tariknya kurang power kot. Kalau yang betul-betul tarik tinggal suam saja.
Atau pun ianya bukan diambil dari jug yang sudah tersedia, tinggal tuang saja. Mesti freshly prepared punya.
Tak apa lah sekejap lagi turunlah suhunya. Dan aku melayan handphone sementara mahu membuat keputusan nak makan apa.
Seorang pelayan membawa roti canai kepada pelanggan di meja sebelah aku.
“Hmm… roti (canai) telur dengan kari ayam best juga ni.” Aku cakap sendirian dan berkira-kira mahu makan roti telur.
Tuala “Serbaguna”
Setelah meletakkan roti canai, pelayan tadi terus ke meja lain yang baru dikosongkan. Ditangannya ada sehelai tuala.Dia mengelap meja sehingga bersih. Agak berkilat jadinya. Pinggan dan cawan kosong dibawa pergi.
Aku tak sempat nak order. Lagi pun tak nak ganggu dia dengan tangan yang penuh dengan pinggan dan cawan.
Tanpa sengaja aku perhatikan pergerakkannya. Ada rasa terpesona dengan ketangkasan pergerakkannya.
Selepas meletakkan pinggan dan cawan dalam sinki, dia terus ke tempat menebar roti canai. Mungkin ada pesanan baru dari rakan sekerjanya si pembancuh teh tadi.
Tuala yang digunakan mengelap meja masih ditangannya. Tak pasti samada dia membasuhnya semasa meletakkan pinggan tadi ke dalam sinki. Tidak juga aku nampak dia memerah tuala tu.
Sambil mengelap tangannya dengan tuala tersebut, tuala itu juga digunakan untuk mengelap hulu sudip roti canai. Juga pinggiran tempat menebar roti.
Dari gaya penggunaan, tuala itu seperti kegunaan multi-purpose. Semua boleh lap. Dari meja, tangan, dan bahagian memasak. Oh… boleh belaka.
Aduh… hati aku mula tak sedap.
Aku menghirup teh yang sudah suam-suam kuku. Mood aku untuk memesan roti telur jadi kendur. Aku perhatikan pergerakkan beberapa orang lain juga.
Seorang cashier baru lepas terima duit dari pelanggan dan dia mengambil kesempatan mengemaskan pinggan dan sudu yang baru dihantar oleh tukang basuh.
Tuala yang tersedia bersebelahan mesin wang diambilnya dan terus mengelap pinggan dan juga sudu. Tuala itu aku terlihat sudah digunakan untuk mengelap tangannya dan kawasan berhampiran mesin wang.
Pinggan dan sudu memang nampak bersih dan kering. Ya… nampak bersih. Tetapi adakah ianya bersih?
Dia juga menggunakan tuala yang sama untuk mengelap cawan yang baru sampai dan disusun atas rak. Bermakna cawan yang berisi teh tarik aku ini melalui proses yang sama.
Aku malas nak fikir panjang. Teguk saja habiskan. Tetapi leher sudah terasa kembang. Lantaklah… jangan sakit perut sudah fikir ku.
Tak jadi order roti telur, aku ke kaunter untuk membayar.
Tuala yang digunakan mengelap cawan, pinggan dan sudu tadi digunakan mengelap tangannya untuk menerima duit pembayaran dari aku.
Itulah kali pertama dan tak mungkin aku memasuki kedai makan ini buat kali seterusnya.
Laluan Dalam Terowong Sudah Lancar
Perjalanan perlu aku teruskan. Perut yang tadinya lapar sudah hilang selera untuk makan. Mungkin sebab teh tarik power agaknya. Hilangkan dahaga dan lapar sekali gus.Jalan highway sudah semakin lancar walaupun perlahan. Tadi aku mengambil jalan lama dan berhenti sebelum membuat keputusan memasuki highway semula.
Jem teruk akibat kemalangan di Terowong Menora. Dua buah kereta terbalik tayar ke atas. Gambar bawah ialah kiriman seorang kawan melalui WhatsApp.
Lepaskan Gian Makan Roti Telur Beli Di Warung
Hampir tengah malam aku sampai ke destinasi. Rasa gian nak makan roti telur masih ada. Tak berjauhan dengan Homestay tempat aku menginap ada pasar pagi.Aku ke sana sendirian. Tiga orang kawan aku yang datang dari tempat lain mungkin masih melayan kemengantukkan mereka. Biar lah...
Mak ai… ramainya orang. Tempat duduk semuanya penuh. Tak apalah… lagi pun aku mahu bungkus saja.
Aku berdiri di satu sudut selepas membuat pesanan untuk 4 biji roti telur. Sambil menunggu aku memerhatikan keadaan.
Perniagaan warung ini kelihatan rancak. Tukang tebar mengambil telur, memecahkan dan meratakan telur pada roti dengan sebelah tangan.
Cekap…
Tak ada tuala ditangannya. Hanya sudip sebagai alatan utama. Dari menguli, menebar, mengalih-alihkan roti, dan menepuk (roti biasa) semuanya menggunakan tangan. Itulah keistimewaan roti canai.
Sekiranya kueh, mee, atau nasi disediakan menggunakan tangan seperti roti canai sudah tentu ramai yang tak sanggup nak makan.
Tangan itulah yang memegang, memecahkan dan meratakan telur pada roti canai yang aku pesan.
Sesetengah telur masih ada saki baki najis tahi ayam. Apakah telur itu sudah dibasuh terlebih dahulu? Sekiranya tidak… aku sedang menempah penyakit.
Aku terus menunggu sementara 4 biji roti telur yang dipesan siap.
Walaupun ini hanya sebuah warung berbanding dengan restoren semalam, pelayan yang mengemaskan meja tidak memegang bahan makanan atau peralatan.
Hanya melayan pelanggan dan mengemaskan meja.
Pinggan dan cawan dibasuh, dibilas dan diatur oleh pekerja lain. Susunan mengiring. Sempat kering sebelum dihantar ke meja depan.
Mereka juga tidak memegang makanan.
Secara kasar, susunan semacam kelam kabut… tetapi sebenarnya bersih berbanding dengan cara pengendalian di "restoren dengan tuala serbangunanya".
Sepapan Demi Sepapan Telur
“Telur nak habis. Telur nak habis.” Kuat suara tukang tebar roti meminta bantuan tambahan telur.Seorang kakak mengeluarkan beberapa papan telur dari simpanan di bawah meja. Hati aku berdebar.
Tapi tidak lama…
Dia membawa telur ke sinki dan membasuh satu persatu. Yang sudah dibasuh dimasukkan ke dalam bekas khas dan diletakkan berdekatan dengan penebar roti.
Lega… pembersih warung ini kata hati aku. Kalau tak sakit perut nanti memang confirm tak ada jangkitan kuman dari sini. Ya, memang tak sakit. Boleh datang lagi…
Penebar Roti Tak Mahu Terima Duit Aku
“OK bang… 4 roti telur dah siap.” Seorang pelayan memberi isyarat kepada aku sambil dia sibuk melayan pelanggan lain.Aku mahu membayar kepada abang penebar roti, tetapi dia tidak mahu menerima duit aku. Pelayan tadi cepat-cepat dengan wang pulangan RM 2 sudah tersedia di tangannya.
Note RM 10 disambutnya dan aku mengambil wang baki.
Penebar roti mengelak dari memegang duit adalah satu langkah penjagaan kebersihan. Nampak remeh… tetapi kuman boleh berpindah dari pemilik duit kepada roti canai.
Sebelum beredar aku sempat membuat pemerhatian terakhir.
Tangan Dan Jari Pengendali Makanan
Dari penebar roti, penerima wang, dan beberapa orang pelayan yang aku sempat perhatikan, kuku mereka semua pendek.Ia penanda aras tahap kebersihan makanan yang disediakan. Cumanya sikit berbeza pada penebar roti.
Sekali pun diwaktu permulaan tangan dan jarinya seperti bahagian bawah gambar berikut, setelah beberapa keping roti ditebar, jari dan kukunya akan kelihatan bersih seperti gambar bahagian atas.
Aku harap abang penebar roti ini bukan begitu caranya.
Kesimpulan: Tangan, Tuala, dan Telur
Jika dalam politik, kejatuhan seorang lelaki itu disebabkan oleh 3-Ta.• Wanita (skandal dan rumahtangga yang hancur),
• Harta (kekayaan dan bagaimana ianya didapatkan dan dibelanjakan),
• Tahta (pangkat dan salah guna kuasa).
Tak mahu keracunan makanan kerana makan roti telur, perhatikan tahap kebersihan 3-T pada penebarnya. Tangan, Tuala, dan Telurnya. Kalau ragu-ragu… tinggalkan.
1. Tuala merupakan salah satu dari punca utama penyebaran kuman dan bakteria. Bakteria seperti E-coli, Salmonella dan campylobacter adalah jenis yang menyebabkan keracunan makanan.
2. E-coli (kuman yang terdapat dalam najis) juga sangat suka bersarang dalam kuku. Kuman ini tidak terus hilang bila tangan dibasuh dengan sabun. Kerana ruang kuku jika panjang menghalang pembasuhan yang berkesan.
3. Telur yang tidak dibasuh dan sentiasa diramas-pecah oleh penebar roti menambah risiko najis ayam menjadi sebahagian dari resepi roti telur. Bakteria Salmonella boleh dikaitkan dengan telur yang ada najis.
Sudikan tekan butang bawah ni, ya... Terima Kasih.
Thank you for your comments