Cara Masak Gulai Ayam Dan Bermacam Jenis Gulai Dengan Cepat
Figure 1. Gulai ayam nampak macam sedap sangat. Gambar hiasan dari theflavorbender.com |
Masak Gulai Ayam Siap Kurang Dari 20 Minit
Kesuntukan masa untuk memasak antara punca ramai orang memilih untuk makan dikedai. Tambahan lagi kalau hanya ada seorang dua di rumah. Tak berbaloi dengan masa yang diluangkan untuk membeli bahan dan proses memasak setiap kali mahu makan.Ketika belajar dulu, kesempitan duit memaksa aku makan di rumah tanpa perlu mengambil masa yang lama untuk memasak.
Cara yang sama aku lihat dilakukan oleh Mak Lang sewaktu aku menziarahinya. Apakah rahsia atau caranya boleh siapkan masakan gulai dengan cepat? Sepertinya sangat mudah baginya menyiapkan masakan gulai ayam.
Dua resepi gulai ayam yang sedap (MJR-GA-01 dan MJR-GA-02) yang aku tulis sebelum ini menggunakan bahan berasingan yang perlu diadun sendiri sebelum memulakan tumisan.
Mengambil masa yang agak panjang. Terutama bagi newbie yang baru mahu belajar memasak gulai ayam.
Pada yang rajin atau yang punya masa, mengadun rempah sendiri sangat sesuai kerana boleh buat ikut selera dan aroma kesukaan sendiri. Juga sangat sesuai jika sekali masakan bertujuan untuk ramai orang.
Tapi kali ini lain sikit ceritanya. Tentang masakan pantas gulai ayam. Cara ini boleh saja digunakan untuk apa jua masakan yang menggunakan rempah.
Jimat Duit & Jimat Masa Memasak
Bagi pelajar di Malaysia nak makan bukan masalah. Asal ada duit semuanya beres. Tetapi sewaktu aku belajar dulu kalau sentiasa nak makan luar, akan tak cukup lah bajet bulanan.Tetapi hal yang lebih utama ialah selera aku tetap mahu makan nasi dan lauk-lauk yang kebiasaannya ada di Malaysia. Terutamanya gulai. Kalau asyik burger, pizza, sandwich dan noodles… perut aku jadi tak tentu arah.
Mengamuk tu tak lah, tapi merajuk… badan jadi lembik tak bermaya.
Untuk menjimatkan masa memasak, aku hanya masak 2 kali seminggu. Setiap kali memasak lauk, kuantitinya boleh dimakan untuk 6-7-8 kali.
Aku gunakan plastic ziplock yang sesuai untuk saiz satu hidangan. Bermakna selesai masak, satu bahagian dimakan dan yang selebihnya dibekukan dalam 5-7 bungkusan.
Bila nak makan, hanya keluarkan dari peti ais, panaskan dengan microvave oven.
Atau pun sewaktu pagi sebelum ke kelas aku keluarkan dulu. Balik tengahari dah cair. Untuk malamnya pula aku keluarkan masakan jenis lain punya selepas makan tengahari.
Bila masak 2 kali seminggu, akan ada berbagai jenis masakan yang boleh bertukar ganti menu setiap hari. Kalau satu jenis yang diulang-ulang dalam seminggu akan jemu jadinya.
Konsep yang sama tapi sedikit berbeza perlaksanaannya dilakukan oleh Mak Lang.
Rempah Siap Diadun Kekalkan Rasa Sedap
Haa… inilah pembocoran rahsia macamana Mak Lang boleh siapkan masakan gulai dengan cepat. Tak kira lah gulai ayam, gulai ikan, atau gulai daging.Cerita aku kat atas tadi, lauk yang sudah dimasak aku bekukan. Tapi Mak Lang bekukan pes rempah yang sudah siap dimasak.
Ada berbagai jenis pes rempah yang dibuatnya. Sampai masanya dia ambil saja pes jenis gulai apa yang mahu dimasak.
Dalam masa kurang dari 20 minit gulai ayamnya siap. Gulai daging atau tulang akan perlukan lebih masa untuk jadi lembut. Katanya kalau letak daun nangka sehelai dua akan mempercepatkan proses melembutkan daging.
Contoh Resepi Pes Gulai Untuk 10 kali Masak
Kaedah Mak Lang yang membolehkannya memasak dengan cepat menggunakan pes gulainya diperturunkan di sini. Untuk 2 jenis resepi pes gulai ayam. Moga ia dapat memudahkan kerja kalian, terutamanya yang selalu sibuk.Bahan Pes Gulai Ayam (MJR-GA-01 x 10 ekor)
1.1.1 Serbuk Rempah Kari (Gulai)
a) 30 sudu besar serbuk rempah kari. Bersamaan dengan 5 bungkus saiz kecil 25 gram.Dalam memilih serbuk rempah, antara brand popular adalah seperti dalam gambar di bawah. Lain brand pastinya akan memberikan rasa yang berbeza.
Figure 2. Contoh rempah kari (gulai) yang popular di Malaysia. |
1.1.2 Bahan untuk dilumatkan (tumbuk, giling, atau guna blender)
a) 100 biji bawang merah (jika guna bawang besar 10 biji mencukupi)b) 50 ulas bawang putih (bersamaan 6-7 biji)
c) 10 sudu makan biji ketumbar – Klik SINI lihat gambar jika tidak kenal
d) 70 biji buah keras – lihat gambar di SINI jika tidak kenal
e) 20-30 cm kunyit segar
f) 20-30 biji cili merah segar atau kering.
Jika guna cili kering, baik rendam terlebih dahulu supaya mudah untuk dilumatkan.
Boleh juga menggunakan pes Cili Boh belian atau buat sendiri. 20 sudu makan sudah cukup.
g) 10 sudu asam jawa (ketulan) yang kemudian cairkan dan diperah airnya.
Boleh digantikan dengan 10-12 keping asam gelugor (asam keping) jika tak ada asam jawa. Tapi asam jawa akan lebih sedap.
Setelah bahan di atas (a-f) dilumatkan seakan bubur, campurkan dengan serbuk kari dan air asam jawa (g) ke dalam besen atau mangkuk besar.
Cukupkan air supaya mudah mengadun.
Figure 3. Pes Cili Boh buatan sendiri |
1.1.3 Bahan Membuat Pes Gulai Ayam (MJR-GA-01 x 10 ekor)
a) 50 sudu makan (~500 ml) minyak masak untuk tumisan. Terlebih sikit pun tak kisah.b) 10 cawan air (minima ~ 1,500 ml).
c) Garam secukup rasa selepas ianya pekat. Mulakan dengan 3 sudu besar garam halus.
d) Gula 10 sudu kecil.
1.2.1 Membuat Pes (Bagi newbie, rujukan detail menumis dan perencah klik SINI)
a) Gunakan kuali besar.b) Tumis bahan 1.1.2 sehingga naik minyaknya dan berbau harum.
c) Masukkan bahan 1.1.3. (b-d)
d) Kerapkan mengacau sambil ianya mendidih. Teruskan mengacau hingga pekat.
e) Tutup api bila sudah rasa puas dengan kepekatan.
f) Setelah sejuk, masukkan ke dalam 10 bungkusan dan bekukan. Setiap bungkusan untuk 1 ekor ayam.
1.3.1 Bahan Tambahan Untuk Dimasukkan Bersama 1 ekor Ayam
a) 1 Potong lengkuas (sebesar ibu jari). Diketuk supaya pecah tetapi tidak hancurb) 1 batang serai segar. Diketuk juga.
c) 2 cawan santan kelapa (atau sekotak kecil santan pekat berukuran 200 ml)
d) 3 helai daun limau purut
e) 2 helai daun salam (bay Leaf)
1.3.2 Cara Memasak Gulai Ayam Menggunakan Pes (MJR-GA-01 x 1 ekor)
a. Ambil 1 bungkus pes MJR-GA-01b. Masukkan pes bersama bahan 1.3.1 ke dalam kuali sederhana besar.
c. Masukkan air sebanyak 250 ml (tambahkan jika mahu kuah lebih)
d. Masukkan 1 dari 2 cawan santan.
e. Masukkan ayamnya.
f. Rasakan garamnya.
g. Biarkan sehingga mendidih dan ayamnya empuk.
h. Masukan baki santan (1 dari 2 cawan).
i. Tambah garam sekiranya perlu.
j. Tutup api sebaik sahaja ianya mendidih.
Hidangkan…meleleh beb…
Figure 4. Gulai ayam yang dimasak menggunakan pes rempah. |
Figure 5. Hasil gulai ayam dimasak dengan pantas menggunakan pes rempah. |
2. Bahan Pes Gulai Ayam (MJR-GA-02 x 10 ekor)
2.1.1 Serbuk Rempah Kari (Gulai)
30 sudu besar serbuk rempah kari. Bersamaan dengan 5 bungkus saiz kecil 25 gram.2.1.2 Bahan untuk dilumatkan (tumbuk, giling, atau guna blender). Bagi newbie, rujukan detail tentang perencah dan cara menumis klik SINI.
a) 20 sudu teh biji ketumbarb) 40-50 ulas bawang putih (8-10 biji)
c) 5 sudu teh jintan manis.
d) 20 cm kunyit segar
e) 100 biji bawang merah (bawang kecil). Atau 10 biji bawang besar.
f) 30 biji cili merah segar. Jika menggunakan yang kering rendam terlebih dahulu supaya mudah untuk dilumatkan. Tak mahu pedas tapis buang bijinya.
g) 50 biji buah keras (candle nut).
Setelah bahan di atas (a-g) berbentuk seakan bubur, campurkan dengan serbuk kari ke dalam mangkuk besar atau besen.
Cukupkan air supaya tidak terlalu pekat dan mudah mengadun.
2.1.3 Bahan tambahan untuk menumis (berbeza dari Resepi MJR-GA-01 x 10 ekor)
a) 10 batang / keping kulit kayu manis (setiap batang lebih kurang 3 cm)b) 30-50 butir bunga cengkeh
c) 10 butir bunga lawang.
d) 100 helai (atau 8-12 tangkai) daun kari.
2.1.4 Bahan Membuat Pes Gulai Ayam (MJR-GA-02 x 10 ekor)
a) 50 sudu (500 ml) makan minyak masak untuk tumisan. Terlebih sikit pun tak kisah.b) Mulakan dengan 1 liter air, lebihkan pun tak apa. Akhirnya akan pekat juga.
c) Gula 10 sudu kecil.
d) Garam secukup rasa mengikut banyak mana air yang digunakan. Boleh mulakan dengan 3 sudu besar.
2.2.1 Membuat Pes Gulai Ayam MJR-GA-02 x 10 ekor
a) Gunakan kuali besar.b) Tumis bahan 2.1.2 sehingga naik minyaknya dan berbau harum.
c) Masukkan bahan 2.1.3.
d) Masukkan bahan 2.1.4 (b-d).
e) Sambil ianya mendidih teruskan mengacau hingga pekat untuk elak dari hangit.
f) Tutup api bila sudah rasa puas dengan kepekatan.
g) Setelah sejuk, masukkan ke dalam 10 bungkusan dan bekukan. Setiap bungkusan untuk 1 ekor ayam.
2.3.1 Bahan Tambahan Untuk Dimasukkan Bersama 1 ekor Ayam
a) 1 Potong lengkuas (sebesar ibu jari). Diketuk supaya pecah tetapi tidak hancur.b) 3 lembar daun limau purut. Tak perlu jika tidak suka bau tomyam.
c) 1 batang serai, juga diketuk.
d) ½ sudu teh serbuk buah pala
e) ½ sudu teh serbuk lada putih – kurangkan atau lebihkan mengikut selera kepedasan.
f) 2 cawan santan kelapa (atau 1 kotak kecil santan pekat berukuran 200 ml.)
g) Sebiji ubi kentang sederhana besar di potong 6-8 ketul, nipis atau berbuku.
h) 1 sudu asam jawa (ketulan). Cairkan dan diperah airnya.
2.3.2 Cara Memasak Gulai Ayam Menggunakan Pes (MJR-GA-02 x 1 ekor)
a. Ambil 1 bungkus pes MJR-GA-02b. Masukkan pes bersama bahan 2.3.1 ke dalam kuali sederhana besar.
c. Masukkan air sebanyak 250 ml (tambahkan jika mahu kuah lebih).
d. 1 sudu besar kerisik (tidak dimasukkan dalam resepi MJR-GA-02 yang asal)
e. Masukkan ayamnya.
f. Masukkan 1 cawan pertama santan
g. Rasakan garamnya.
h. Biarkan sehingga mendidih dan ayamnya empuk.
i. Masukkan 1 cawan kedua santan. Tutup api sebaik sahaja ianya mendidih.
j. Taburkan 4 sudu makan bawang goreng untuk tambahan aroma.
Hidangkan - sesuai untuk juadah nasi putih, nasi beriani, roti jala, kueh bom, atau roti canai.
Figure 6. Gulai ayam extra cili tanpa Kerisik. |
Figure 7. Nasi beriani dengan lauk gulai ayam. |
Figure 8. Contoh gulai ayam yang ada kerisik. Warnanya akan lebih gelap kesan daripada warna kerisik. Gambar:- theflavorbender.com |
3. Pes Gulai Ayam dan Aneka Pes Rempah Yang Boleh DiBeli
Selain dari membuat pes rempah sendiri Mak Lang juga suka membeli. Ikut mood atau bila tangannya gatal sewaktu shopping. Melihat, mencapai, lalu masukkan dalam troley. Dia sudah tahu apa mahunya, bukan cekau sembarangan.Di pasar malam atau di sesetengah kedai runcit juga ada mejual “homemade” pes rempah ini. Kalau pembuatnya jenis pakar rempah dan gulai, memang sangat sedap. Kalah yang kita adun sendiri.
Apa pun… gulai tetap gulai. Makan kat restoren nasi kandar pun gulai. Makan kat warung tepi jalan pun gulai. Kat hotel pun gulai ayam juga kalau ayam yang jadi kegemaran. Hanya rasanya yang berbeza.
Dan perbezaan rasa ini yang membuatkan orang tak jemu makan gulai. Samada ayam, ikan, daging, atau makanan laut. Boleh tahan tak kalau langsung tak ada gulai dalam sebulan? Ambo dok... dok tahe.
Kesimpulan – Cara Pantas Memasak Gulai Ayam
Bukan hanya gulai ayam, tetapi berjenis masakan lagi.Kalau dulu masa aku belajar aku jimatkan masa memasak dengan membekukan lauk yang sudah dimasak. Hanya perlu masak sekali atau dua kali seminggu. Tapi menu makannya tetap saja berlainan setiap hari.
Untuk yang berkeluarga lebih praktikal menggunakan pes, samada buatan sendiri atau dibeli.
Masa memasak yang diperlukan hanya untuk melembutkan daging atau ayam. Ini kerana proses penyediaan ramuan dan perencah sudah tidak diperlukan lagi.
Ambil pes masukkan sedikit bahan tambahan, santan dan air, campur dengan ayamnya… tunggu mendidih dan empuk… selesai.
Jika tak keberatan, sentuhlah butang bawah ni. Terima kasih.
Thank you for your comments