Resepi Masakan Dua Jenis Gulai Ayam Yang Mudah Lagi Sedap
Dua Resepi Gulai Ayam Hampir Serupa Tapi Tak Sama Rasa
Gulai ayam ni sebenarnya ada beratus jenis. Asas bahan dan resepinya sama tetapi lain orang yang memasak akan menghasilkan citarasa gulai yang berbeza.Dari aromanya yang membuka selera sehingga kepada makan tak puas-puas. Atau juga kita akan rasa gian bila sudah sekian lama tak pekena.
Artikel ini mempunyai dua jenis gulai ayam. Tak tahu nak namakan apa, so aku bagi kod sebagai MJR-GA-01 dan MJR-GA-02.
Lagi pun aku bercadang untuk tumpukan blog ini khas untuk resepi, so bila ada kod mudah sikit untuk dirujuk di kemudian hari.
Aku belajar memasak bukan sebab minat pada asalnya. Tetapi kerana terpaksa.
Ianya kisah sewaktu aku merantau di dunia yang tak punya kedai makanan Melayu. Gian punya jam, kena buat sendirilah. Lama kelamaan aku jadi mahir macam tu jer.
Siap ditempah oleh kawan-kawan bila ada majlis tertentu.
OK... jom tengok macamana nak buat 2 jenis gulai ayam ini yang boleh menceriakan diri sendiri dan keluarga atau tetamu yang bertandang.
Gulai Ayam (MJR-GA-01)
Gambar hiasan Gulai Ayam. Dapoer Kreatif |
Serbuk Rempah
Bahan utama dalam penyediaan masakan kari atau gulai ialah serbuk rempah kari itu sendiri. Tak kiralah gulai daging, ikan, seafood, ayam dan sebagainya.Antara Rempah Gulai (Kari) Popular |
Gambar di atas adalah antara jenama serbuk rempah kari ayam dan daging yang popular di Malaysia. Lain brand lain sedikit aroma dan rasanya. Setiap kali aku balik cuti summer aku akan tapau berkilo-kilo rempah ini buat stok.
Selain serbuk kari sebagai bahan asas, perisa tambahan sering digunakan. Ia menimbulkan aroma tersendiri… memberikan keunikan dan identity gulai itu atau tukang masaknya.
Cara penyediaan juga mempengaruhi perbezaan rasa. Setiap tukang masak, masakan mereka tidak 100% sama. Meski pun peralatan dan resepinya sama saja.
Resepi dan tatacara yang ditulis ini sangat sesuai bagi mereka yang baru mahu belajar masak. Yang sudah otai… hanya untuk mendapatkan idea tambahan jika perlu atau tiba-tiba jadi buntu.
OK… jom tengok dua resepi gulai ayam ini…
Bahan Gulai Ayam (MJR-GA-01)
(1) Bahan utama - ayam dan serbuk rempah karia) 1 ekor ayam dipotong 8-12 bahagian ikut kesukaan atau kesesuaian.
b) 3 sudu besar serbuk rempah kari. Lebih kurang separuh bungkus saiz kecil 25 gram.
Brand ikut kesukaan. Lain brand pastinya akan memberikan rasa yang berbeza.
(2) Bahan untuk dilumatkan (tumbuk, giling, atau guna blender)
a) 10 biji bawang merah (jika guna bawang besar satu biji sudah mencukupi).
b) 5 ulas bawang putih.
c) 1 sudu makan biji ketumbar – lihat gambar di bawah jika tidak kenal.
d) 7 biji buah keras – lihat gambar di bawah jika tidak kenal.
e) 2-3 cm kunyit segar.
f) 2-3 biji cili merah segar atau kering.
Jika guna yang kering baik rendam terlebih dahulu supaya mudah untuk dilumatkan.
Boleh juga menggunakan paste Cili Boh. Dua sudu makan sudah cukup.
g) 1 sudu asam jawa (ketulan) yang kemudian cairkan dan diperah airnya.
Boleh digantikan dengan asam keping jika tak ada asam jawa. Tapi asam jawa akan lebih sedap.
Setelah bahan di atas (a-f) dilumatkan seakan bubur, campurkan dengan serbuk kari dan air asam jawa (g) ke dalam mangkuk sederhana besar.
Masukkan sedikit air supaya mudah mengadun jika terlalu pekat.
(3) Bahan untuk dimasukkan bersama ayam
a) 1 Potong lengkuas (sebesar ibu jari). Diketuk supaya pecah tetapi tidak hancur.
b) 1 batang serai segar. Diketuk juga.
c) 3 helai daun limau purut – sila lihat gambar di bawah jika tidak mengenali.
d) 2 helai daun salam (bay Leaf) – sila lihat gambar di bawah jika tidak mengenali.
(4) Bahan untuk kuah
a) 5 sudu makan minyak masak untuk tumisan. Terlebih sikit pun tak kisah.
b) 2 cawan santan kelapa (atau sekotak santan pekat berukuran 200 ml).
c) 1 cawan air (minima ~ 250 ml). Tambah untuk kuah extra.
d) Garam secukup rasa.
e) Gula satu sudu kecil.
Cara Memasak Gulai Ayam (MJR-GA-01)
a) Gunakan periuk atau kuali sesuai untuk seekor ayam. Panaskan dan masukkan minyak.b) Setelah minyak cukup panas, masukkan bahan (2).
c) Ketika proses menumis, kacau selalu untuk elakkan ada bahagian yang terhangit. Turunkan kekuatan api supaya suhu pada tahap sederhana.
d) Apabila warna bahan (2) bertukar kepada perang – minyak sudak keluar dan berbau harum, masukkan ayam dan sedikit air (separuh cawan). Ini untuk elak dari berkerak dan hangit. Juga masukkan bahan (3).
e) Kacau dan alihkan ayam sekali sekala.
f) Setelah ayam separuh masak, masukkan sebahagian dari santan dan kuatkan api. Tudung untuk menaikkan suhu dan supaya ayam masak sama rata – atas dan bawah.
g) Periksa samada ayam sudah hampir masak (daging mudah terbelah dengan sudip). Kuahnya juga hampir kering ketika ini.
Jika ya… tambah bahagian kedua santan. Sekiranya nak kuah lebih, tambahkan sedikit air lagi.
h) Masukkan garam secukup rasa dan gula sesudu kecil. Lebih gula jadi terlalu manis… tak sedap pula.
Nasinya dah siap? Hidangkan dan enjoy lah... ek.
Gambar Rujukan Perencah
Daun limau purut. Sumber. |
Daun salam (bay leaf). Rujukan. |
Buah keras. Rujukan. |
Biji ketumbar. Rujukan. |
Gulai Ayam (MJR-GA-02)
Resepi ini ada sikit perbezaan dengan resepi (MJR-GA-01) di atas tadi. Cara masaknya lebih kurang sama. Tetapi aromanya akan jadi lain disebabkan oleh bahan yang berlainan.Gulai Ayam. Gambar hiasan Barbaric Cooking. |
Bahan Untuk Gulai Ayam (MJR-GA-02)
(5) Bahan utama - ayam dan serbuk rempah karia) 1 ekor ayam dipotong 8-12 bahagian ikut kesukaan atau kesesuaian.
b) 3 sudu besar serbuk rempah kari – ikut brand kesukaan. Lebih kurang separuh bungkus kecil 25 gram.
(6) Bahan untuk dilumatkan (tumbuk, giling, atau guna blender)
a) 2 sudu teh biji ketumbar
b) 4-5 ulas bawang putih
c) Separuh sudu teh jintan manis.
Nota: Ada 4 jenis jintan, jangan silap. Lihat gambar kat bawah untuk pastikan mana satu jintan manis.
Jintan manis sering digunakan untuk membuat nasi lemak. Aroma harum dan menyelerakan.
d) 2 cm kunyit segar
e) 10 biji bawang merah (bawang kecil). Bawang besar juga boleh, sebiji mencukupi.
f) 3 biji cili merah segar. Jika menggunakan yang kering rendam terlebih dahulu supaya mudah untuk dilumatkan.
g) 5 biji buah keras (candle nut).
Setelah bahan di atas (a-g) berbentuk seakan bubur, campurkan dengan serbuk kari ke dalam mangkuk sederhana besar.
Masukkan sedikit air supaya mudah mengadun jika terlalu pekat.
(7) Bahan tambahan untuk menumis (berbeza dari Resepi MJR-GA-01)
a) 3 cm kulit kayu manis
b) 3-5 butir bunga cengkeh
c) Sebutir bunga lawang – sekiranya tak kenal, lihat gambar di bawah.
d) 10 helai daun kari
(8) Bahan untuk dimasukkan bersama ayam
a) 1 Potong lengkuas (sebesar ibu jari). Diketuk supaya pecah tetapi tidak hancur.
b) 3 lembar daun limau purut. Tak perlu jika tidak suka bau tomyam.
c) 1 batang serai, juga diketuk.
d) Setengah sudu teh serbuk buah pala – lihat gambar di bawah jika belum kenal.
e) Setengah sudu teh serbuk lada putih – kurangkan atau lebihkan mengikut selera kepedasan.
f) Sebiji ubi kentang sederhana besar di potong 6-8 ketul.
g) 1 sudu asam jawa (ketulan). Cairkan dan diperah airnya.
Nota:- Berbeza dengan resepi (MJR-GA-01), kali ini air asam jawa tidak di bancuh sekali dengan bahan (6).
(9) Bahan untuk kuah
a) 5 sudu makan minyak masak untuk tumisan.
b) 2 cawan santan kelapa (bersamaan separuh biji) atau 200 ml santan pekat kotak.
c) 1 gelas air ~250 ml, lebihkan jika mahu kuah extra
d) Garam secukup rasa mengikut banyak mana air yang digunakan.
e) Gula satu sudu kecil.
f) 4 sudu makan bawang goreng untuk tambahan aroma. Mudah didapati di kedai.
Cara Memasak Gulai (MJR-GA-02)
a) Gunakan periuk atau kuali sesuai untuk seekor ayam. Panaskan dan masukkan minyak.b) Setelah minyak cukup panas, masukkan bahan (6) dan bahan (7).
c) Ketika proses menumis, turunkan kekuatan api supaya suhu pada tahap sederhana. Kacau selalu untuk mensebatikan tumisan dan elakkan dari hangit.
d) Apabila warna bahan (6 dan 7) bertukar kepada perang – keluar minyak dan berbau harum, masukkan ayam dan sedikit air (separuh cawan). Ini untuk elak dari berkerak dan hangit.
e) Masukkan bahan (8). Tutup periuk atau kuali dengan tudungnya.
f) Kacau dan alihkan ayam sekali sekala.
g) Setelah ayam separuh masak, masukkan sebahagian dari santan dan kuatkan api. Tudung untuk menaikkan suhu dan supaya ayam masak sama rata – atas dan bawah.
h) Periksa samada ayam sudah hampir masak (daging mudah terbelah dengan sudip). Jika ya… tambah bahagian kedua santan. Sekiranya nak kuah lebih, tambahkan sedikit air lagi.
i) Masukkan garam secukup rasa dan gula sesudu kecil. Lebih gula jadi terlalu manis… tak sedap pula.
j) Bawang goreng boleh dimasukkan samada selepas memasak atau semasa menghidangkan ketika masih panas. Atau pilih separuh untuk selepas menutup api dan sebahagian ditaburkan ketika mahu menghidang.
k) Hidangkan - sesuai untuk juadah nasi atau roti canai.
Baki Gulai Ayam Jika Ada
Baki yang tak habis samada resepi dari MJR-GA-01 atau MJR-GA-02 elok dipanaskan. Supaya tak basi.Bagi setengah orang gulai baki yang dipanaskan rasanya akan bertambah sedap. Hanya yang tak syiok ialah daging bahagian premium dah habis.
Untuk 10 Ekor Ayam atau 10 kali Masak
Kalau ada kenduri tentunya perlukan banyak ekor ayam yang perlu dimasak.KLIK gambar di bawah ini untuk melihat ramuan dan cara membuat PES Rempah untuk menggulai 10 ekor ayam. Atau pun pes itu dibekukan dan diguna untuk 10 kali masakan.
Gambar Rujukan Perencah
Empat jenis jintan: 1) Jintan hitam (Anise seed); 2) Jintan hitam (Habbatus sauda); 3) Jintan manis (Fennel seed); 4) Jintan putih (Cumin seed). |
Biji buah pala. Serbuk boleh dibuat dengan mengikis, sagat atau tumbuk. Rujukan. |
Isi buah pala sering dibuat jeruk atau makanan kudapan ringan. Rujukan. |
Bunga lawang. Rujukan. |
Penutup
Ya… itu lah tadi dua resepi ringkas gulai ayam ala orang bujang yang menggugat suri rumah. Moga ianya memberikan manfaat dan pada yang mencuba… enjoylah. Jangan segan nak komen kalau ada feedback atau pertanyaan.Untuk mempercepatkan kerja memasak, bahan resepi boleh disiapkan awal-awal dan disimpan dalam peti sejuk. Nak guna… ambil terus. Yang dah pandai dan cekap… dia orang main campak saja. Tapi menjadi.
Bermaksud, pada yang baru mula belajar memasak dengan tiada simpanan bahan... tidak lah ringkas sangat. Kerana perlu mencari bahan terlebih dahulu. Tapi bila sudah lengkap, segalanya akan jadi ringkas.
Artikel seterusnya KLIK ➽ Dua resepi untuk "Masak Kicap Ayam Goreng Kunyit dan Ala Berempah"
Sebelum pergi tu... mohon sentuh salah satu dari butang di bawah, ya. Terima kasih.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadamtudia detaill baq hangg..terbaikk
BalasPadam