3 Resepi Masak Asam Pedas Ikan Merah, Pari, Tenggiri dan Kembung
Masa pantas berlalu. Sebulan tak terasa selepas pertemuan aku dengan En. Halim di sebuah restoren berhampiran dengan Masjid Kampung Hulu, Melaka. Yang terasanya ialah ketagihan aku mahu makan masakan asam pedas.
Gambar hiasan: Dapur Digital. |
Hari ini aku bersendirian di pinggiran pantai. Nun sayup-sayup kelihatan puncak pergunungan. Hanya bezanya di sini semuanya hijau. Di sana berbagai warna terutama ketika musim luruh.
Sangat cantik dari kejauhan. Tapinya… bila dekat serabut macam muka aku ketika penuh dengan jerawat gatal.
Segera aku teringatkan zaman di mana aku pernah hidup bersendirian. Diperantauan. Dan terasa benar aku ingin ke sana lagi. Rindu untuk menjejaki semula saat-saat manis dan indah.
Ketika itu bila terasa gian mahu makan masakan emak atau ala kampong semuanya aku kena buat sendiri. Padan muka siapa suruh nak merantau sangat.
Dan hari ini juga aku mahu mengulangi apa yang pernah aku lakukan. Ia itu memasak asam pedas. Kalau di sana dulu, aku selalu guna ikan trout, iaitu sejenis ikan air tawar yang dapat dibeli dari orang memancing di kolam.
Sila scroll ke bawah untuk lihat gambar memancing dalam kolam ais. Juga pemandangan cantik ketika musim sejuk dan musim luruh.
Sebelum aku memasak hari ini, mahu aku abadikan dalam penulisan ini resepi yang pernah aku buat dulu. Kalau nak resepi untuk gulai ayam dan sup ayam yang sudah aku tulis boleh klik sini: GULAI AYAM. SUP AYAM.
Daun kesum mudah ditanam dan hidup subur. |
3 Resepi Asam Pedas Menggunakan 4 Jenis Ikan
Kali ini ada 4 jenis ikan yang mengisi ruangan resepi masak asam pedas. Resepi yang pertama adalah paling ringkas dan paling cepat.Ya… zaman di mana orang mahu segalanya cepat. Ikan yang digunakan pun jenis kembung. Utara cakap temenung.
Tak mahu tunggu dan termenung lama-lama. Nanti masuk angin kembung perut. Boleh naik angin satu badan.
Cumanya, bila tengok harga ikan untuk resepi nombor 2 dan nombor 3… terus termenung. Ha ha ha…
OK… jom masak sempoi punya ikan. Sambil termenung pun boleh.
1. Asam Pedas Ringkas Ikan Temenung (Kembung)
Bahan asas:-
a) 4 ekor ikan temenung (ikan kembung)b) 2-3 sudu besar minyak masak
c) 1 bawang besar (India punya atau Holland tak kisah asalkan bawang sudah). Dipotong nipis.
d) 2 ulas bawang putih – diketuk atau potong nipis.
e) 3 sudu besar cili boh – dicairkan dengan sedikit air
f) 1 keping asam gelugur (juga dipanggil asam keping). Asam jawa kena kerja lebih sikit.
g) 2 pucuk daun kesum
h) 1 batang serai ditumbuk sekadar pecah (tak ada pun OK)
i) 1 gelas besar (~300 ml) air
j) 2-3 biji kacang bendi (bukan kemestian, hanya sekiranya ada). Dipotong 3.
k) ½ sudu teh gula
l) ½ sudu teh garam atau adjust untuk secukup rasa.
Cara:-
Gunakan kuali atau peruk sederhana besar. Masa yang diambil antara 10-15 minit sahaja.
a) Panaskan minyak.
b) Masukkan bawang besar dan bawang putih. Ditumis sehingga berwarna kuning keperangan. Rajin sikit kacau mengacau supaya tak ada yang hangit. Hangit boleh mengakibatkan terpotong stim ketika makan.
c) Masukkan cili boh yang sudah dicairkan dan juga asam keping. Haa… asam keping ini mengingatkan aku pada sesuatu.
d) Masukkan juga gula dan garam.
e) Tumis cili boh sehingga airnya kering dan keluar minyak. Juga perlu rajin mengacau. Tak rajin kacau ada bahagian yang akan jadi kerak dan mungkin hangit.
f) Masukkan ikan kembungnya. Juga daun kesum. Jika ada serai dan kacang bendi, masukkan sekali.
g) Beberapa minit kemudian alihkan ikan. Sekiranya kering tambah sedikit air.
h) Tambah air untuk kuahnya. Biar sehingga mendidih. Rasa garamnya. Selepas 1-2 minit mendidih tutup api. Dah… sedia untuk dihidangkan.
2. Masak Asam Pedas Ikan Merah (Red Snapper) Sedap
Bila sudah puas termenung dan jemu dengan ikan kembung dan bajet ada lebih sikit boleh cuba ikan merah pula.Masa di sana dulu, ikan merah atau red snapper selalu ada dijual di fresh market. Dalam resepi ini, nak tukar kepada Kerapu dan Jenahak pun boleh. Semuanya berisi lembut dan manis sedap.
Hanya harga saja yang tak menyedapkan.
Kecualilah kalau lahir-lahir terus ditatang atas dulang emas. Mana tahu harga ikan. Entah apa jenis ikan pun tak dikenali.
Makan pun ada orang layan… pinggan dan sudu bersalutkan emas. Nak masak sendiri? Jauh sekali lah…
Maka hanya sebut saja apa nak makan resepi apa kesukaan. Ikan pun datang menyembah sujud siap terhidang untuk dimakan.
OK… back to masak asam pedas ikan merah. Sorry ter-emotional pulak.
Apasal ikan merah ni tengok aku sedih jer? Sejuk ea? |
2a. Bahan Asas
✸ 1 ekor ikan merah saiz besar dipotong kepada 6 bahagian. Kepalanya dibelah 2.✸ 4 sudu besar minyak masak untuk menumis
✸ 500 ml air. Sekiranya sukakan lebih kuah, tambah lagi.
✸ 1 sudu besar asam jawa. Diperah dengan 50 ml air atau separuh mangkuk kecil
2b. Bahan yang dikisar serentak (A). Giling, tumbuk, atau guna blender.
✸ 1 biji bawang besar Holland atau 10 ulas bawang merah saiz sederhana✸ 5 ulas bawang putih
✸ 1 inci lengkuas
✸ 1 inci halia
✸ 1 inci kunyit segar (sengaja tak menggunakan nama “Kunyit Hidup”)
2c. Bahan yang dikisar serentak (B)
✸ 10 biji cili kering. Belah dan rendam dengan air panas terlebih dahulu. Buang bijinya dengan menggunakan penapis kasar. Biji akan memberi kepedasan.✸ 2 sudu kecil biji ketumbar
✸ 2 sudu kecil jintan manis
Ketumbar dan jintan manis akan memberikan aroma yang enak. Membuka selera.
2d. Bahan bahan Penyedap Aroma dan Rasa:-
✸ 2 batang serai – diketuk sekadar pecah✸ 4 pucuk daun kesum
✸ 1 kuntum bunga kantan – dibelah dua
✸ ½ sudu teh gula
✸ ¾ sudu teh atau secukup rasa garam
2e. Bahan Sayuran:-
✸ 4-5 biji kacang bendi. Potong jika saiznya besar.✸ 2 biji tomato, dibelah 4 atau 6 bergantung pada saiz
Caranya:-
1. Gunakan kuali atau peruk sederhana besar. Boleh ditutup. Supaya bahan tumisan tidak merecik keluar ketika menumis. Menudung juga menaikkan suhu ketika mendidih. Tak perlu buka api kuat-kuat, jimat gas.2. Setelah minyak cukup panas tumis bahan 2b. Iaitu bahan yang dikisar serentak (A).
3. Biarkan untuk seketika sambil mengacau sehingga baunya naik dan warna bertukar kepada kuning keperangan. Kacauan ialah untuk elak hangit dan berkerak.
4. Masukkan bahan 2c. Ia itu cili kering, ketumbar dan jintan manis yang dikisar serentak. Teruskan tumisan sehingga airnya kering dan minyak timbul.
5. Masukkan air dan perahan asam jawa. Diikuti dengan bahan 2d. Masukkan bendi sekarang. Tomato tunggu dulu.
6. Setelah mendidih, masukkan ikan merahnya. Dan juga buah tomato. Tutup untuk meratakan kepanasan dibahagaian atas. Api boleh dikecilkan sedikit.
7. Buka tudung, kalihkan ikan. Ambil sedikit kuah untuk merasai kesesuaian manis dan masin. Tambah garam kalau tak cukup masin.
8. Jika terlebih masin tambah sedikit air dan tutup api apabila mendidih semula. Siap dan sedia untuk dihidang.
3. Asam Pedas Pekat Ikan Pari / Tenggiri Pedas Kaw-Kaw
Ikan Pari dan Tenggiri mentah siap dibersihkan |
3a. Bahan Asas
✸ Ikan - pilih samada ikan pari atau ikan tenggiri✧ Sekiranya menggunakan ikan pari, rendam dengan air asam keping (atau limau nipis) terlebih dahulu buat seketika. Bagi menghilangkan bau hamis.
✧ Guna 4 ketul potongan daging ikan pari matang (bukan ikan pari kecil)
✧ Sekiranya menggunakan ikan tenggiri pilih yang bersaiz besar
✧ Juga gunakan 4 potong
✸ 1 sudu besar asam jawa diperah dengan air sebanyak ¼ mangkuk kecil
✸ 4 sudu besar minyak masak untuk menumis
3b. Bahan Yang Dikisar Serentak Menggunakan Blender
✸ 10 biji cili kering yang sudah dibelah dan direndam✸ 3 sudu besar serbuk cili brand Giant (ini memberikan kepedasan kaw-kaw)
✸ 1 sudu besar serbuk lada hitam (tambahan untuk kepedasan menyengat)
✸ 1 cubit belacan (sebesar ibu jari)
✸ 1 inci kunyit hidup
✸ 1 inci halia
✸ 6 biji bawang merah sederhara besar atau 1 biji bawang besar
✸ 5 Ulas bawang putih
Serbuk cili. Yang tengah tu pedas kaw-kaw. Guna sikit cukup. Selebihnya guna cili boh atau kisar sendiri. |
3c. Bahan Penyedap Aroma dan Rasa
✸ 2 batang serai✸ 1 sudu teh halba
✸ 4-5 pucuk daun kesum
✸ 1 kuntum bunga kantan dibelah dua
✸ ¼ sudu teh gula (ditambah kemudian jika kuah dicairkan)
✸ ¼ sudu teh garam (tambah jika tak cukup masin)
3d. Bahan Sayuran:-
✸ 1 biji terung panjang dibelah dua dan dipotong mengiring setebal ibu jari.✸ Sekiranya tak suka terung, boleh juga diganti dengan kacang bendi, tak ada hal.
✸ 2 biji tomato sederhana besar. Potong 4 bahagian.
Caranya:-
1. Gunakan kuali atau peruk sederhana besar yang punya penutup. Untuk bahan tumisan dari merecik kerana tumisan ini jenis garing. Tapi bukan untuk buat ASAM PEDAS CRISPY eh…2. Setelah minyak cukup panas masukkan bahan 3b. Tumis sehingga kering dan garing. Perlahankan api dan terus mengacau supaya tiada kerak dan tidak hangit.
3. Masukkan bahan 3c (bahan penyedap aroma), air asam jawa, ikan, dan bahan 3d iaitu sayuran. Tambahkan air jika terlalu pekat untuk dikacau.
4. Perlahankan api dan tudung. Biar ikan dan sayur masak dengan wap (steam) yang terkurung oleh tudung.
Sekali sekala kacau supaya tidak berkerak dan untuk mengalih ikan serta sayuran. Rasa tahap kemasinan. Tambah garam jika perlu.
Tutup api apabila terung (atau bendi) sudah lembut dan empuk.
Siap dan boleh dikaut untuk hidangan.
Sekiranya ada ikan masin goreng seperti gelama dan telur dadar… lagi lah enak. Kicap pun boleh menaikkan kesedapan masakan pari asam pedas yang pedas kaw-kaw ini.
Boleh berpeluh dibuatnya. Makanya elok standby kipas yang kuat. Lagi baik kalau makan dalam bilik yang ada aircond.
Gambar hiasan: Laman Resepi.
Mengimbau Kenangan…
Daun kesum susah untuk dapat di sana. Cuti summer kali pertama selain dari membawa bekalan rempah ratus, aku juga bawa benih sayuran dan ulam yang tak ada di sana.Benih dari batang dibungkus kemas supaya tak kena rampas sewaktu di airport… he he he. Yang biji tu senang je lah...
Boleh ditanam dan hidup dalam masa 4-5 bulan mulai May hingga October. Sewaktu musim panas sayuran tumbuh dengan subur. Ketika musim sejuk pindahkan ke dalam pasu bawa masuk dalam rumah.
Lihatlah di bawah ini sebahagian dari kenangan aku di sana dulu. Entah bila aku akan punya rezeki untuk ke sana lagi menelusuri lorong dan jalan kerinduan.
Masa yang lalu tak akan kembali lagi. Kenangan lalu kemas aku sematkan di dalam hati. Pengalaman lalu membolehkan aku berdikari.
Err… Nak masak dan makan lauk apa hari ini? Ikan termenung, ikan merah, ikan pari atau pun tenggiri?
Kalau masak asam pedas yang wajibnya ialah asam dan cili. Tak ada daun kesum masih boleh tahan lagi.
Selamat mencuba…
Dapat sedikit manfaat? Sudikan tekan butang bawah ni, ya... Terima Kasih. Enjoylah tengok gambar kenangan kat bawah ni. Juga ada artikel lain yang menarik selepas gambar-gambar musim sejuk.
Pemandangan indah tasik dan pergunungan dimusim luruh. |
Musim luruh dipinggiran tasik |
Musim bunga tapi pokok ni jenis tak ada bunga la pula. |
Memancing dalam kolam melalui lubang ais. Ikan Trout. Sedap digoreng dan masak asam pedas. |
Sungai membeku. Tapi cantik naw. |
Jem akibat snow. Ada kereta terkandas. |
Boleh main gua ais kalau tahan sejuk. |
Siksanya bila salji terlalu tebal. |
Thank you for your comments