Resepi Ikan Siakap 3 Rasa Restoren Tom Yam - Food, Baby & Recipe -->

Header Ads

Resepi Ikan Siakap 3 Rasa Restoren Tom Yam

Ikan Siakap adalah antara ikan yang popular dikebanyakan restoren Tom Yam. Disediakan dalam bentuk 3 rasa, kukus, bakar, masak kicap, taucu, dan juga asam pedas. Resepi ini sesuai untuk yang baru berjinak dengan dapur.
Siakap-Masak-3-Rasa
Siakap Masak 3 Rasa

Ikan Siakap adalah antara ikan yang popular dikebanyakan restoren Tom Yam. Disediakan dalam bentuk 3 rasa, kukus, bakar, masak kicap, taucu, dan juga asam pedas. Gulai juga ada tetapi agak jarang. 3 rasa adalah yang paling digemari oleh ramai orang.

Sebelum ini aku sudah tulis resepi untuk gulai ayam, ayam masak kicap, sup ayam, rendang ayam, ikan masak asam pedas… so kali ini giliran Siakap 3 rasa pula.

Sebabnya, bila aku travel dan makan di Restoren Tom Yam, Siakap 3 rasa seolah-olahnya macam satu kewajipan pula disamping ayam goreng kunyit / ayam goreng masak kicap dan sotong masak pedas.

Ayam Goreng Masak Kicap Ala Thai
Sotong Masak Pedas

Tapi yang aku hairan, kenapa dipanggil 3 rasa? Padahal dalam masakan ini sebenarnya bermacam rasa yang ada.

Masam, manis, masin yang sesedap rasa, rasa kicap, rasa dari sos tiram pun ada, masam manis dari sos plum, pedas ikut berapa banyak cili padi yang dimasukkan, keenakan sos tomato, bau aroma kunyit dari penggorengan… heh, memang lebih dari 3 rasa lah.

Bila di restoren, aku selalu mengintai jika dapurnya berdekatan dengan kaunter memesan (dan mengambil) atau membayar. Boleh nampak apa yang dia orang taruk dan campakkan.

Ya… yang terror masak memang dia main campak jer ramuan yang sudah sedia dikisar, dihiris atau diketuk. Tapi sedapnya yakmat, memang tak boleh lawan.

OK jom tengok macamana resepi masakan Siakap 3 Rasa ni. Tulisan ini disediakan untuk newbie yang baru mencuba mahu mendekatkan diri dengan dapur.

Sebabnya?

Kerana mereka yang sudah otai dan terror main campak tetapi tetap sedap masakannya, tak akan mencari resepi sebegini.

a. Bahan Utama – Untuk Hidangan Saiz Seekor Ikan Siakap 3 Rasa

Ikan Siakap segar, dibuang sirip dan sisiknya. Perutnya? He he… mesti lah dibuang juga.

Buat sendiri kalau dapat ikan dari pancingan. Kalau dibeli dari kedai selalunya sudah siap dibuang semua yang disebut di atas.

Kelar dan ratakan sesudu kecil garam halus dan serbuk kunyit. Biarkan beberapa minit supaya garam dan kunyit dapat meresap ke dalam ikan.

Goreng (deep fry) ikan siakap ini mengikut tahap kegaringan yang disukai. Tapi jangan sampai hangit pula... ek.

Sila rujuk di bahagian bawah selepas “cara” untuk panduan alat dan cara menggoreng supaya menghasilkan ikan yang digoreng sempurna.

b. Bahan Dihiris Nipis Untuk Menumis dan Minyak

3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
3 sm (1 inci) halia segar
2 biji cabai (cili) merah segar
2-3 Sudu besar minyak masak (boleh guna minyak selepas menggoreng ikan)

c. Bahan Bagi Penyediaan Sos 3 Rasa

2 sudu besar cili boh atau cili yang dikisar sendiri dari cili segar atau cili kering
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram (lihat gambar di bahagian panduan)
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos plum (lihat gambar di bahagian panduan)
1 sudu besar kicap lemak manis (lihat gambar di bahagian panduan)
100 ml air - boleh lebihkan air jika sukakan kuahnya.

d. Bahan untuk menimbulkan aroma dan kepedasan

½ kuntum bunga kantan dan dibelah pada 2 bahagian. (lihat gambar di bahagian panduan jika tidak kenal)
2 helai daun limau purut (lihat gambar di bahagian panduan)
5 biji cili padi. Jika mahu kurang pedas 3 biji mencukupi. Dipecahkan untuk mengeluarkan pedasnya.
1 biji tomato dibelah 6 jika besar, 4 jika sederhana.
1 keping nenas tebalnya ½ inci (12 mm) yang potong menjadi ketulan
1 biji bawang besar dipotong kasar (tebal).

e. Bahan pengimbang rasa masam, manis dan masin

1 sudu besar jus lemon atau perahkan dari sebiji buah limau nipis.
1-2 sudu besar gula pasir (atau gula perang – brown sugar), ikut tahap kesukaan manisnya.
1 sudu kecil garam (atau sesuaikan untuk mendapatkan secukup rasa). Ikan yang digoreng tadi sudah bergaram.

Cara Memasak Siakap 3 Rasa

Jika direstoren, kuali untuk menggoreng dan kuali untuk membuat sos selalunya berasingan. Tetapi bila di rumah boleh saja guna kuali yang sama.

Jika menggunakan kuali bersaingan dan mahu menggunakan minyak baru pun boleh seperti yang diamalkan di restoren.

Cara 1. Kegaringan Ikan Dikekalkan

1. Setelah selesai menggoreng ikan, minyak menggoreng tadi digunakan untuk menumis. Tumis bahan (b) sehingga bawang merah kelihatan kuning keperangan.
2. Masukkan bahan (c) iaitu bahan sos sahaja. Airnya kemudian.
3. Teruskan mengacau sehingga keluar minyaknya.
4. Masukkan air dan juga bahan (d) dan bahan (e).
5. Setelah mendidih untuk 2-3 minit, matikan api.
6. Sos ini dituangkan ke atas ikan yang sudah siap digoreng tadi. Selesai dan hidangkan lah.

Cara 2. Kulit Ikan Basah Dan Lembut

Untuk versi ini, setelah sampai pada tahap (4) di atas, masukkan ikan yang digoreng tadi. Alihkan ikan sekali dua untuk meratakan sos pada ikan.

Tambahkan air kerana sebahagiannya akan diserap oleh ikan yang garing tadi. Setelah mendidih selama 2-3minit, tutup api. Sedia untuk dihidangkan.

Sebelum terus ke bawah untuk lihat gambar dan panduan, silakan sentuh salah satu butang kat bawah ini... Terima kasih.

Panduan Untuk Newbie Yang Baru Berjinak Dengan Dapur

Ikan-Siakap-Segar
Ikan Siakap. Gambar:- PembekalBenihIkanSiakap

Bagaimana Memilih Ikan Siakap Segar

Kesedapan masakan 3 Rasa ini bergantung juga kepada kesegaran ikan siakapnya. Jika ikan itu sudah terlalu lama dan medak, akan ada bau yang tidak berapa enak. Boleh potong stim.

Ikan yang tidak segar akan hilang rasa kelembutannya, tidak berjus dan kemanisannya akan pudar. Sebaliknya isi ikan itu akan menjadi lebih keras, tawar dan rasa hambar.

Pada yang otai memilih ikan dia akan tahu samada ikan itu segar atau tidak. Secara kasarnya kesegaran ikan dapat dikenali seperti berikut:-

1. Warna ikan.
Ikan yang segar mempunyai kulit (sisik) yang berkilat dan cerah. Kepudaran dan pucat menandakan ikan itu tiada lagi kesegaran.

2. Bau
Sekiranya masih hanyir dan berbau laut, maka segarlah ikan itu. Jika ada kebusukan, jangan diambil.

3. Medak
Medak bermaksud isinya sudah lembik, iaitu tidak keras dan pejal. Bila ditekan dengan jari akan ada kesan lopakan.

4. Mata Ikan
Seperti mamat yang sedang lalok, mata ikan juga memberi maksud. Mata yang jernih menonjol, berkilat, cembung dan bersinar bermakna ikan itu masih segar. Jika mata sudah merah atau terus kehitaman dan termasuk ke dalam, biarkan saja ia di situ.

5. Insang
Fungsi utama insang ialah menyerap oksigen ke dalam sistem pendarahan. Ikan segar mempunyai insang yang merah. Jika kelihatan kelabu dan tebal dengan lendir, biarkan ia bersendirian menunggu orang lain.

6. Sisik
Sisik yang tidak tercabut dan masih kuat menandakan kesegaran ikan siakap itu.

7. Perut
Selain mata, insang, dan sisik, keadaan perut ikan menjadi penanda utama untuk ikan itu tidak diambil terus.

Perut yang pecah atau terobek dengan ususnya kelihatan hanya sesuai untuk dikebumikan, dijadikan baja organik, atau sajian pada kucing. Bukan untuk masakan Siakap 3 Rasa.

Kuali Tak Melekat dan Cara Menggoreng

Menggoreng ada trick-nya untuk mendapatkan gorengan yang mana kulit ikan tidak berkecai akibat melekat pada permukaan kuali.

Apabila kulitnya berkecai, daging ikan juga berkemungkinan tidak utuh lagi. Kesegaran dan kesedapan dari jus ikan akan hilang.

Di restoren, mereka tidak semestinya menggunakan kuali jenis tidak melekat. Tetapi kuali yang khas hanya untuk menggoreng. Ada selaput semula jadi yang tertinggal dipermukaan kuali yang sudah lama dipakai.

Lalu ikan yang digoreng tidak melekat.

Penggunaan minyak yang banyak juga faktor kenapa ia tidak melekat. Betul-betul deep fry di mana keseluruhan ikan akan tenggelam di dalam minyak masak.

Tetapi di rumah, kita bukan kerap sangat menggoreng, jadi tidak sesuai untuk menggunakan minyak yang banyak.

Menggoreng-Ikan-Siakap-Untuk-Resepi-3-Rasa
Contoh menggoreng secara deep fry. Gambar:- zenkitchn.blogspot.com

Penggunaan Kuali Yang Tidak Melekat

Terdapat berbagai jenama kuali yang tidak melekat – non-stick frying wok (pan). Dari yang mahal macam TeFal kepada generic yang dijual dikebanyakan pasaraya.

Contoh kuali tidak melekat ini ialah seperti pada gambar di bawah.

Kuali-dengan-permukaan-tidak-melekat-non-stick-frying-wok
Gambar: SapaKitchen

Kuali-tidak-melekat-non-stick-frying-pan-dari-Tefal-dan-Generic
Kuali tidak melekat mempunyai lapisan teflon yang melicinkan permukaan kuali.

Sos Tiram

Terdapat banyak jenama sos tiram. Tetapi jangan terbeli yang dalam gambar sebelah kiri di bawah. Dia guna nama Adabi tapi pembuatnya ialah Lee Shun Hing.

Sos-Tiram-dari-pelbagai-jenama-untuk-masakan-3-rasa
Jangan tertipu lagi. Maka jangan beli Sos Tiram yang dikilang oleh Lee Shun Hing.

Bunga Kantan

Pada yang tak kenal dengan bunga kantan… ini dia gambarnya.

Bunga-Kantan-Penyedap-Masakan-3-rasa
Bunga Kantan. Gambar: myagri.com.my

Daun Limau Purut

Daun limau purut adalah kemestian pada masakan Tom Yam. Untuk Siakap 3 Rasa juga sering digunakan tetapi bukan kemestian.

Daun-limau-purut-kemestian-pada-Tom-Yam-baik-untuk-masakan-3-rasa
Daun limau purut. Sumber.

Limau Nipis

Aku sendiri pernah tersilap, mahu beli limau nipis aku ambil limau kasturi. Yang sudah otai, dia tahu saja hanya dengan menjeling imbas. Untuk newbie, belum tentu.

Jadi gambar di bawah mungkin bermanfaat pada yang belum kenal yang mana satu limau nipis dan yang mana pula limau kasturi.

Limau-nipis-segar-dari-pokok
Limau nipis segar dari pokoknya.

Beza-antara-limau-kasturi-dan-limau-nipis
Perbezaan antara limau kasturi dan limau nipis. Gambar:- mingguan wanita dan newmalaysiankitchen

Kicap

Ada banyak pilihan jenama kicap. Aku suka Jalen dan Enaq. Habhal’s pun suka juga tapi mahal sikit. Pada aku tak ada beza pun dengan yang dua tadi.

Jenama-Kicap-popular-di-Malaysia
Jenama kicap: Adabi, Habhal’s, Cap Tiga Ayam, Kicap Tamin, Kicap Jalen, Kicap Mudim, dan Kicap Enaq.

Sos Plum

Seperti buah tomato dan cabai yang ada sosnya masing-masing, buah plum juga. Sos plum penting terutama bagi masakan orang Cina. Sos yang wajib ada untuk membuat masakan ikan masam manis (sweet and sour).

buah-plum-untuk-plum-sauce
Buah plum. Gambar:- eatingrichly

Terdapat banyak jenama untuk sos plum ini. Disebabkan pokok plum tidak tumbuh di Malaysia, maka sos plum ini kebanyakannya datang dari luar negara, terutama China.

Pelbagai-jenama-plum-sauce-untuk-masakan-3-rasa-dan-sweet-and-sour
Contoh Sos Plum dari berbagai Jenama.

Jumpa Lagi Dilain Ketika

Terima kasih kerana membaca sehingga ke peringkat ini. Sekiranya bermanfaat untuk diri sendiri silakan tekan satu dari butang berikut.

1 ulasan:

  1. yeayy.. goreng pakai minyak sikit, takmau gune minyak bebanyak nanti taktau nak masak ape dah, perut kecik je ni.
    .

    Resepi Premium Untuk Orang Asia

    BalasPadam